Partager

Centre de développement

Asia Memuncul: Pilihan pembiayaan lebih menyeluruh diperlukan bagi menyokong pemulihan dalam keadaan yang tidak pasti

 

22 Mac 2022 – Meskipun aktiviti ekonomi akan terus berjalan di Asia Memuncul pada 2022, masih terdapat pelbagai ketidakpastian dan risiko yang penting. Menurut Tinjauan Ekonomi bagi Asia Tenggara, China dan India 2022: Membiayai Pemulihan Mampan daripada COVID-19 yang dilaporkan hari ini, penggubal dasar di rantau ini perlu meningkatkan pilihan pembiayaan dengan meluaskan pasaran modal dan instrumen, bagi memastikan pemulihan yang mampan.

Pergerakan dalam harga komoditi dan pasaran kewangan yang berlaku semenjak Rusia mula melakukan kekerasan terhadap Ukraine secara besar-besaran mungkin akan melambatkan pemulihan ekonomi Asia Memuncul (ASEAN-10, China dan India), meskipun impak keseluruhannya diramalkan lebih kecil berbanding impak terhadap ekonomi OECD. “Meskipun pemulihan ekonomi daripada pandemik COVID-19 dijangka akan berterusan, momentum pertumbuhan tersebut masih tidak stabil. Ini kerana inflasi, harga tenaga dan harga makanan yang semakin meningkat, serta gangguan dalam rantaian bekalan akan terus mengancam pemulihannya,” kata Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann. “Kerajaan di rantau ini perlu melaksanakan dasar-dasar makroekonomi dan struktur yang berkesan untuk melindungi ekonomi mereka, terus memperbaiki kesejahteraan rakyat serta mencepatkan kemajuan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.”

Kesan global daripada peperangan di Ukraine dan kadar faedah yang semakin meningkat dalam ekonomi-ekonomi maju boleh menjejaskan lagi pasaran kewangan. Sejak mulanya pandemik, banyak negara di rantau ini telah melihat keberuntungan dan peminjaman bank menurun. Kemerosotan pasaran buruh juga akan mengambil masa untuk dipulihkan. Untuk menyokong proses pemulihan yang tidak stabil ini, kebanyakan ekonomi telah mengekalkan dasar monetari akomodatif yang sewajarnya. Beberapa negara di rantau Asia Memuncul masih meneruskan rangsangan fiskal, tetapi pelaksanaannya adalah lebih perlahan berbanding pada mulanya pandemik.

Dalam konteks fiskal dan monetari yang rumit ini, penggubal dasar di rantau Asia Memuncul patut mempertimbangkan pilihan yang lebih menyeluruh untuk membiayai pemulihan daripada pandemik ini. Menggunakan inisiatif berbilang pihak seperti pinjaman bersindiket atau penukaran pengaturan, boleh membantu menguruskan hutang awam. Di samping itu, penggubal dasar boleh memanfaatkan sumber pembiayaan alternatif seperti bon-bon Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus. Untuk membangunkan pasaran bon, Tinjauan tersebut mencadangkan penyediaan rangka kerja pengelasan dan pensijilan yang berkesan dan rangka kerja kawal selia yang khusus, menambahkan bekalan bon berdaulat, dan meningkatkan insentif untuk mendorong penglibatan pelabur dalam pasaran tersebut. Sekuriti berkaitan insurans boleh disediakan untuk meningkatkan perlindungan terhadap peristiwa melampau. Kerjasama serantau seperti menggabungkan risiko pandemik contohnya, akan turut menyokong pemulihan selepas pandemik.

Pasaran bon di Asia Memuncul memerlukan rangka kerja institusi dan undang-undang, perlindungan pelabur, ketelusan, kecairan dan infrastruktur pasaran yang lebih kukuh. Keperluan ini semakin ketara di negara-negara yang mempunyai pasaran yang kurang maju. Memperbaiki literasi kewangan di Asia Memuncul akan membantu pelabur untuk lebih memahami instrumen kewangan yang rumit bagi mendorong penglibatan mereka dalam pasaran. Akhir sekali, Tinjauan tersebut mencadangkan penyediaan rangka kerja makro berhemat yang kukuh untuk mendorong pembangunan pasaran bon dengan meningkatkan kestabilan dalam sektor kewangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tinjauan Ekonomi bagi Asia Tenggara, China dan India edisi 2022, sila layari: https://www.oecd.org/dev/economic-outlook-for-southeast-asia-china-and-india-23101113.htm


Wartawan diminta menghubungi Kensuke Tanaka, Ketua Meja Asia di Pusat Pembangunan OECD (Kensuke.Tanaka@oecd.org, +33 6 27 19 05 19), atau Bochra Kriout di Pejabat Berita Pusat Pembangunan OECD (Bochra.Kriout@oecd.org, +33 1 45 24 82 96) dan Yumiko Yokokawa, di Pusat OECD Tokyo (Yumiko.Yokokawa@oecd.org, +81 3 55 32 00 21)

 

Documents connexes

 

Also AvailableEgalement disponible(s)